Saturday , 23 August 2014
Close
Breaking News

“Dengan suci hati dan tulus ikhlas, saya memohon maaf kepada TS Khalid”

Khalid IbrahimKUALA LUMPUR  -  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima permohonan maaf bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus secara terbuka dan tidak akan menuntut sebarang ganti rugi.

“Saya menerima permohonan maaf beliau dan berharap beliau dapat meneruskan usaha sebagai seorang yang minat dalam bidang politik.

“Dengan cara itu, kita telah menunjukkan bahawa keadilan itu adalah satu usaha berterusan dan saya anggap pengajaran ini akan menguatkan lagi kualiti hidup beliau sebagai seorang yang percaya pada keupayaan diri sendiri,” katanya dipetik Selangorku ketika ditemui di luar bilik Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ini ekoran daripada Mohd Nazree semalam membuat permohonan maaf kepada beliau atas dua tuduhan pada 2009.

Permohonan maaf pertama merujuk kepada kenyataan Mohd Nazree sebelum ini yang mendakwa Abdul Khalid menyalahguna kuasa dan menggunakan wang awam untuk membiayai penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadi beliau.

Manakala permohonan maaf kedua adalah merujuk kepada dakwaan Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang Kerajaan Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 bagi majlis Hari Raya Aidiladha di kawasan Bandar Tun Razak.

“Sesungguhnya dengan suci hati dan tulus ikhlas, saya memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua kenyataan yang saya keluarkan selaku Pengerusi Gerak bertajuk ‘Kenyataan Media Gerak Malaysia: Tentang Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor’ bertarikh 21 Januari 2009 dan ‘Kenyataan Media Gerak Malaysia: Laporan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor’ pada 3 Februari 2009.

“Saya mengaku bahawa kedua-dua kenyataan media ini telah mencemarkan, menjejaskan serta menjatuhkan nama baik, reputasi, imej dan intergriti beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya mengaku amat menyesal kerana membuat kenyataan akhbar yang tidak benar terhadap beliau. Saya berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah di masa akan datang,” katanya.

Mohd Nazree membaca permohonan maaf itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Dr Badariah Sahamid.

Beliau yang merupakan defendan dalam kes tersebut turut bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu di muka hadapan akhbar Sinar Harian dalam tempoh 14 hari.

Pada 24 Mac lalu, Abdul Khalid memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Nazree melalui peguam beliau, Sankara Nair.

Tindakan itu berikutan keengganan Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu. – Harakahdaily


Scroll To Top